Oleh: Herbalis
Bahrain Samah, RH (AHG), terbit dalam akhbar Sinar Harian edisi KL/Selangor
pada 1 Januari 2013.
Amalan gaya hidup seperti
yang diamalkan oleh mereka yang berumur panjang dan sentiasa sihat terutama
yang tinggal di kampung dan kawasan pedalaman patut dijadikan contoh. Menjalani
gaya hidup seperti yang dijalani oleh nenek-moyang kita didapati bukan sahaja
berupaya meningkatkan kuantiti dalam bentuk pertambahan jangka hayat malah dari
segi kualiti kehidupan secara keseluruhan.
Dari segi pemakanan mereka hanya
makan makanan pada kuantiti sederhana. Jenis makanan yang mereka makan pula
tidaklah rencam sepertimana makanan-makanan yang biasa diambil oleh kebanyakan
orang. Mereka makan nasi dengan satu atau dua jenis lauk sahaja.
Lauk yang biasa mereka makan ialah
ikan dan sekali-sekala pula telur. Mereka juga kerap makan sayur-sayuran.
Kekerapan makan ikan terutama ikan sungai (atau laut) berbanding ayam
menyumbang omega-3 selain sebagai sumber protein utama serta vitamin D. Semua
ini dipercayai membantu memulihara fungsi pelbagai sistem tubuh untuk berfungsi
dengan cekap.
Tahan lasak serba-serbi
Mereka tidak takut
mendedahkan diri kepada cahaya matahari. Malah sebahagian besar kehidupan
mereka ialah membanting tulang di tengah panas terik matahari. Kulit mereka
bertukar menjadi sawo matang. Ia tidak terbakar seperti dialami oleh kulit
manja yang dimiliki oleh kebanyakan orang yang menjalani kehidupan serba-serbi
moden.
Sering makan sayur-sayuran
dan ulam dipercayai menyumbang kepada kekukuhan sel-sel kulit mereka. Yang
anehnya, mereka tidak mengalami kanser kulit sedangkan mereka terdedah kepada
cahaya ultra ungu dari jenis yang berbahaya setiap hari kerana berkerja saban
hari hingga ke petang.
Untuk mengekalkan bendalir
tubuh mereka minum air secukupnya. Jika mereka berhempas-pulas dan berpanas di
bendang mereka akan minum air lebih berbanding jika tidak menjalankan aktiviti
fizikal yang berat. Mereka lebih kerap minum air masak terutama pada waktu
makan. Mereka minum air bergula ketika sarapan pagi dan minum petang sahaja.
Mereka tidak pernah tahu
kalori sesudu gula sama seperti sepinggan nasi namun jumlah minuman bergula
yang mereka ambil dalam sehari cukup sesuai untuk menjaga bentuk tubuh mereka
agar tidak obes.
Aktiviti fizikal mereka
dengan cara bekerja atau mengemas halaman rumah bukan sahaja membantu
mengeluarkan peluh namun meningkatkan ketahanan tubuh fizikal dan psiko-emosi
mereka.
Daya tahan mereka kuat
kerana sejak kecil sistem imiun mereka telah membentuk pelbagai antibodi secara
semulajadi. Ia berpunca dari pendedahan kepada pelbagai jenis kotoran yang
terdapat pada tanah dan persekitaran. Tubuh mereka tidak pernah kenal suntikan
vaksin. Tidak seperti anak-anak zaman moden yang disuntik pelbagai vaksin lalu
yang dipercayai sebagai punca pelbagai bentuk alahan, kematian mengejut atau
sindrom tubuh bergoncang (shaken body syndrome) dan autisme.
Jika mereka mengalami
masalah mereka akan mengadu kepada ALLAH dengan memohon pertolongan. Hubungan
mereka yang rapat dengan ALLAH dengan benar-benar beriman kepadanya,
menjalankan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya secara ikhlas membantu
meningkatkan sikap positifnya dalam segenap aktiviti kehidupan harian.
Nenek-moyang kita dahulu
masak makanan menggunakan minyak kelapa. Hari ini minyak kelapa dikatakan oleh
media barat sebagai punca penyakit jantung koronari. Pada hal ia berpunca dari
angkara pengeluar minyak-minyak sayuran poli tak tepu bagi melakukan minyak
berbahaya mereka. Mereka meninggal dunia kerana benar-benar sudah sampai
masanya untuk meninggal dunia pada usia yang matang, bukan kerana kematian awal
berpunca dari sakit jantung seperti dialami oleh orang zaman sekarang.
Warga tua yang kekal sihat
sampai mencapai umur matang yang dibincangkan dalam artikel ini makan
ubat-ubatan moden menurut keperluan sahaja. Terdapat juga orang tua yang jarang
sakit. Jadi mereka boleh dikatakan tidak bergantung kepada ubatan moden untuk
terus kekal sihat. Sebaliknya amalan gaya hidup holistik sepertimana yang
dijalani oleh nenek-moyang mereka menjadi ikutan.
Amalan gaya hidup mereka termasuk
tidak terlalu bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan modenlah yang membantu
mereka panjang umur dan sentiasa kekal sihat.
Awet muda
Cadangan gaya hidup berikut
adalah berdasarkan pemerhatian yang dilakukan terhadap amalan warga tua yang
panjang umur dan kekal sihat seperti yang telah dibincangkan di atas. Ia juga
diamalkan sendiri oleh penulis.
Perkara-perkara utama yang
perlu diamalkan ialah pengambilan makanan yang sesuai, menjalani aktiviti
fizikal yang sesuai, bersikap positif, mengurangkan stres, tidur yang
mencukupi, pendedahan kepada cahaya matahari untuk pembinaan vitamin D, minum
air secukupnya setiap hari dan mengambil makanan mengandungi antioksidan.
Beberapa perkara lain
seperti mengelakkan pendedahan kepada pencemaran seberapa mampu, mengambil
makanan kaya dengan omega-3 dan mengambil minyak kelapa dara juga membantu.
Secara umum makanlah makanan
yang sesuai dengan jenis metabolisme anda. Perlu difahami bahawa makanan yang
sesuai untuk seseorang mungkin akan memudaratkan anda jika anda mengambilnya.
Makanan yang sesuai dengan jenis metabolisme seseorang dipercayai membantu
memulihara kesihatan tubuh secara keseluruhan dan mengurangkan kemungkinan
untuk mengalami penyakit termasuk penyakit degeneraif.
Sesetengah orang akan
mengalami tindak-balas makanan apabila mengambil makanan tertentu. Tindak-balas
makanan akan menyebabkan seseorang mengalami simtom buruk tertentu. Makanan
organik adalah jauh lebik baik dari makanan yang ditanam secara komersil. Untuk
mengetahui lebih lanjut mengenai makanan dan jenis metabolisme serta
perbincangan mengenai tindak-balas makanan sila baca buku penulis berjudul
Kawal Berat Badan (terbitan Alaf 21).
Mengelakkan makanan
karbohidrat terproses, makanan tinggi gula, makanan/minuman yang mengandungi
sirap jagung tinggi fruktosa ialah langkah yang bijak. Gunakan manisan seperti
gula kabung dan gula Melaka asli. Mengurang/mengelakkan makanan bergoreng
secara terendam lama juga adalah langkah bijak. Begitu juga dengan menjauhi
makanan-makanan terproses termasuk pelbagai jenis kerepek/cip kentang atau
diperbuat dari tepung gandum.
Menggunakan garam semulajadi
seperti garam gunung Himalaya sepatutnya dijadikan keutamaan untuk setiap
masakan. Ia menyumbang pelbagai fungsi termasuk dikatakan membantu
menyeimbangkan paras pelbagai jenis mineral dalam tubuh. Makanan yang dijeruk
seperti yang dimakan oleh nenek-moyang kita amat bermanfaat untuk kesihatan
terutama untuk memulihara keseimbangan fungsi sistem imiun.
Makan secara teratur dan
dari jenis makanan yang sesuai dengan metabolisme tidak mencukupi. Aktiviti
fizikal dengan berjalan sekurang-kurangnya tiga puluh minit setiap kali
berjalan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu.
Aktiviti fizikal dengan
melakukan hubungan biologi dengan pasangan sah juga membantu. Sesungguhnya
aktiviti fizikal cergas termasuk bersenam dengan cara yang betul meningkatkan
pembinaan horrmon pertumbuhan disamping membantu seseorang kekal sihat dan
sentiasa bertenaga.
Herbalis Bahrain Samah, RH
No comments:
Post a Comment